Friday, 13 December 2013

0

PM Umum Bantuan Khas Mangsa Banjir RM500

Posted in


Pekan: Bantuan khas RM500 yang diumumkan kerajaan kepada mangsa banjir di seluruh negara akan diagihkan selewat-lewatnya hujung minggu depan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketika ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya menunggu senarai lengkap penduduk terjejas akibat bencana itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum pengagihan wang dimulakan.



Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana berkata, apa yang penting mangsa banjir mendaftar segera bagi membolehkan bantuan berkenan berjalan lancar.

“Saya minta semua penduduk terbabit banjir minggu lalu dan belum mendaftar, berbuat demikian dengan segera supaya tidak ada yang tercicir daripada mendapat bantuan ini.

“Buat masa sekarang, kita hanya menunggu senarai itu saja.

“Jika JKM beri senarai kepada kita, Isnin ini, insya-Allah pada Khamis, kita sudah boleh mula agihkan kepada penerima,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Sultanah Pahang Sultanah Kalsom melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam. Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Sementara itu, Rohani berkata, pihaknya sedang mengemas kini data penerima bagi mengenal pasti jumlah mangsa sebenar yang layak dan selepas itu senarai berkenaan akan diserahkan kepada MKN untuk proses pengagihan.

“Kita kena tengok betul-betul perkara ini sebab dalam satu rumah tidak semestinya ada sebuah keluarga saja, ada satu rumah yang duduk sampai tiga keluarga.
“Kita sedang mengemaskini senarai nama penerima bagi mengelakkan berlaku pertindihan dan masalah lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan bahawa senarai penerima itu diberikan secepat mungkin kepada MKN supaya pembayaran dapat dilakukan segera.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13


0 comments: