Friday, 13 December 2013

0

Jambatan taktikal siap hari ini

Posted in

KEMAMAN: Jambatan taktikal yang sedang dibina di Kampung Kuala Kejir, Hulu Terengganu dekat sini dijangka siap hari ini, kata Panglima Briged Sempadan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brig Jen Hasagaya Abdullah.
Beliau berkata jambatan itu yang dibina anggota Tentera Darat dari tujuh Skuadron iaitu Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) itu mula dibina semalam bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh Khamis lepas akibat arus deras serta mendapan tanah.



"Insya-Allah, hari ini akan siap. Kita bina jambatan taktikal ini bagi memudahkan penduduk menggunakannya bagi melakukan aktiviti harian," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan kerja-kerja pembersihan yang dijalankan anggota ATM di Sekolah Kebangsaan Pusat, di sini, hari ini.

Jambatan taktikal yang dibina bertujuan menghubungkan jalan utama kampung itu ke Kampung Tanggol dan Kuala Berang. Sebelum ini penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif sejauh 20 kilometer untuk ke seberang.

Kerja-kerja membina jambatan taktikal sepanjang 150 meter itu turut dipantau Jabatan Kerja Raya Hulu Terengganu, katanya.

Hasagaya berkata pembinaan jambatan sementara itu juga dapat melancarkan perjalanan pelajar dari kampung Kuala Kejir ke Sekolah Kebangsaan Tanggol memandangkan sesi persekolahan akan dibuka awal Januari depan.


Dalam pada itu, Hasagaya berkata kira-kira 1,000 anggota ATM telah dikerahkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Terengganu dengan tumpuan utama diberikan kepada rumah penduduk dan bangunan kerajaan.


Katanya kerja-kerja pembersihan yang dimulakan sejak minggu lepas mendapat kerjasama penuh penduduk setempat dan pelbagai agensi kerajaan.


"Daripada kerja-kerja menyelamat, gerak kerja ATM kini telah beralih kepada kerja pembersihan, namun kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.


Katanya kira-kira 500 anggota ATM telah ditempatkan di Kemaman sejak banjir melanda pada 2 Dis lepas, membabitkan kerja menyelamat, menghantar bantuan makanan dan perubatan, terutama di kawasan yang sukar ditembusi agensi bantuan lain. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

0 comments: